Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah S.W.T, pada 25-29
Januari 2016 yang lepas, SET'16 (Steadfast Enhancement Training) telah berjaya
diadakan di Berhulu Camp, Ulu Jempol, Negeri Sembilan. Tujuan SET diadakan
adalah untuk membina jati diri dan mengeratkan ukhuwah antara ahli-ahli Steadfast
yang mana terdiri daripada berlainan biro dan batch.
Pada pukul dua petang (25hb Januari 2016), pendaftaran telah
dibuka dan para peserta telah dibahagikan
kepada sepuluh kumpulan. Pihak komiti yang bertugas telah memberikan penerangan
tentang perjalanan program dan seterusnya setiap kumpulan diberikan tugasan dan
wang sejumlah RM60 untuk membeli barang-barang memasak sepanjang Set
berlangsung. Mereka diberikan sepenuh pelepasan untuk memilih tempat untuk
membeli bahan-bahan masakan namun mereka perlu berkumpul di UIA sebelum pukul
6.30 petang.
Pada hari kedua, para peserta diminta berkumpul di “business
compound” pada pukul 8.30 pagi dan diberikan sarapan sebelum memulakan aktiviti
mereka yang pertama. Pada jam 9.00 pagi,
explorace telah dijalankan di sekitar UIA dan telah tamat pada pukul 12
Tengahari. Setelah selesai makan
tenghari dan solat Zohor, para peserta dan komiti telah bergerak ke Berhulu
Camp pada jam 3.00 petang dan tiba ke destinasi pada pukul 6.00 petang. Setelah
diberi penerangan oleh pihak kem, para peserta diminta untuk memasang khemah di
tapak perkhemahan yang disediakan. Selepas solat jamak maghrib isyak secara berjemaah,
Biro Dakwah dan Tarbiah (DnT) telah menjalankan sesi “Stage Fright”. Tujuan
aktiviti ini adalah untuk mencabar diri para peserta untuk berkeyakinan
bercakap dihadapan umum. Selesai sesi tersebut, para peserta diminta untuk berkumpul
bagi aktiviti seterusnya iaitu Night Jungle Tracking yang dikelola oleh pihak kem.
Aktiviti ini telah melahirkan rasa syukur kepada para peserta atas nikmat deria
penglihatan yang diberikan Allah. Hal ini demikian kerana, sepanjang perjalanan
di dalam hutan, para peserta hanya ditemani oleh cahaya bulan dan situasi yang
gelap ini telah menyebabkan para peserta perlu lebih berhati-hati dan peka agar
tidak berlaku sebarang kemalangan. Di samping itu, aktiviti ini telah memupuk
semangat kerjasama berkumpulan dan juga kesabaran memandangkan para peserta
perlu memegang tangan antara satu sama lain dan memberikan maklumat dengan
jelas bagi memastikan perjalananan mereka lancar dan selamat.
Pada keesokan harinya, selepas solat subuh berjemaah dan bersarapan,
aktiviti Jungle Tracking telah dijalankan dan pada kali ini mereka
diperkenalkan dengan pokok-pokok yang terdapat di dalam hutan antaranya pokok
cengal, meranti, Janggut Adam dan Kekatung Sepasang Kasut. Sebelum pulang ke
tapak perkhemahan, para peserta telah dibawa ke ‘punca air’ dan dapat merasa
sendiri kejernihan air tersebut. Seterusnya, pada pukul 2.00 petang, para
peserta telah disajikan dengan aktiviti yang memerlukan ketahanan mental dan
fizikal, di mana mereka telah diberikan masa selama 40 minit untuk
menyelesaikan 10 halangan berlumpur. Selain mencabar mental dan fizikal,
aktiviti tersebut juga bertujuan untuk memupuk
semangat kerjasama antara ahli kumpulan. Setelah bermandi peluh pada siang
hari, para peserta direhatkan dengan aktiviti yang lebih santai pada sebelah
malam dengan bermain bingo yang dimana setiap kumpulan perlu menyusun strategi yang
padu bagi memenangi permainan tersebut.
Seterusnya pada hari keempat, para peserta berkumpul pada jam
8.30 pagi untuk aktiviti ‘outdoor’ yang terakhir iaitu Team Building. Aktiviti ini
dijalankan adalah untuk mencabar kecerdasan mental dan fizikal dan para peserta
perlu mengembleng tenaga bagi menyelesaikan ketiga-tiga permainan iaitu Paipku
Sayang, Tasik Beracun dan Jurus Seribu. Walau bagaimanapun, aktiviti ini tidak
dapat diselesaikan sepenuhnya kerana kekangan waktu. Para peserta seterusnya
diminta untuk bergegas berkumpul di dewan bagi sesi ‘sharing moment’ bersama
alumni steadfast. Mereka telah berkongsi pengalaman sepanjang penglibatan
mereka dalam kelab Steadfast dan bagaimana Steadfast telah membantu mereka
terutamanya dari segi ‘soft skills’ yang sangat berguna untuk kerjaya mereka.
Mereka juga sangat menggalakkan para peserta untuk kekal dalam Steadfast walau
tidak lagi bergelar mahasiswa dan terus memegang slogan kelab iaitu “Purify
Yourself and Preach Others”. Kemudian untuk aktiviti seterusnya, para peserta
diminta berada dalam kumpulan masing-masing. Mereka diminta untuk membuat kipas
daripada kertas dan menulis kelebihan dan kelemahan diri setiap ahli kumpulan. Tujuan
modul ini adalah untuk berkongsi pendapat setiap ahli kumpulan di samping memberikan
semangat dan dorongan untuk memperbaiki diri masing-masing. Seterusnya, tibalah hari yang dinantikan iaitu
Malam Kebudayaan. Pada malam tersebut para peserta telah menunjukkan bakat
masing-masing secara berkumpulan. Terdapat kumpulan yang berlakon, menyanyi dan
tak lupa juga berpuisi. Secara kesuluruhan, Malam Kebudayaan SET’16 telah berlangsung
dengan jayanya di samping itu diselitkan sesi tukar hadiah antara peserta.
Pada hari terakhir SET’16, hari para peserta dimulakan
dengan Qiamullail dan solat Subuh berjemaah dan kemudiannya para peserta berkumpul
selepas sarapan untuk Majlis Penutup. Sesi ‘sharing moment’ daripada ahli-ahli
Steadfast yang bakal menamatkan pelajaran di UIA telah berlangsung dan juga sesi penyampaian
hadiah penghargaan kepada para peserta sekaligus menandakan berakhirnya Set ‘16
yang diadakan di Berhulu Camp, Negeri Sembilan.
Konklusinya, SET'16 berjalan dengan lancar dan para peserta hendaklah mengambil input dari set ini agar dapat dipraktikkan di dalam kehidupan masing-masing.
Konklusinya, SET'16 berjalan dengan lancar dan para peserta hendaklah mengambil input dari set ini agar dapat dipraktikkan di dalam kehidupan masing-masing.
Ucapan Program Manager bagi Steadfast Enhancement Training 2016.
By:#INFO023
0 comments:
Post a Comment